InDepthNews.id (Melaka) – Dalam upaya memperkukuh penyelidikan sejarah dan warisan tamadun Melayu serumpun, Datuk Sri Tengku Zulkifli bin Tengku Haji Ibrahim, seorang pengusaha asal Melaka yang juga merupakan antara pelabur di Pulau Bintan melalui PT Legacy Eis Group Indonesia, telah menyerahkan sebuah Naskah Salasilah Melayu kepada Institut Tun Perak Melaka, Rabu (3)6/2026).
Naskah tersebut diterima oleh Ketua Penyelidik Institut Tun Perak Melaka, Prof. Datuk Dr. Taib bin Dora, sebagai bahan rujukan awal bagi memperluas kajian mengenai hubungan sejarah antara Melaka, Johor, Riau, Lingga dan Bintan dalam konteks perkembangan tamadun Melayu.
Datuk Sri Tengku Zulkifli bin Tengku Haji Ibrahim menyatakan bahwa penyerahan naskah tersebut merupakan sebagian daripada usaha mempertemukan sumber-sumber sejarah yang masih tersimpan dalam masyarakat dengan institusi akademik yang memiliki kemampuan penyelidikan secara ilmiah.
Menurut beliau, sejarah Melayu merupakan warisan bersama yang merentasi sempadan negara moden dan perlu dikaji secara menyeluruh berdasarkan sumber-sumber primer yang masih wujud di Alam Melayu.
“Kita berharap dokumen-dokumen seperti salasilah, manuskrip lama, peta, hikayat dan tradisi lisan dapat dikumpulkan dan diteliti secara akademik agar generasi akan datang memperoleh pemahaman yang lebih jelas mengenai perjalanan sejarah bangsa Melayu.”
Pada masa yang sama, Institut Tun Perak Melaka memaklumkan bahawa pihaknya sedang merancang satu penyelidikan sejarah secara umum berkaitan kesinambungan pemerintahan Melayu selepas kejatuhan Melaka pada tahun 1511.
Menurut Prof. Datuk Dr. Taib bin Dora, kajian tersebut akan memberi perhatian kepada pelbagai sumber sejarah yang berkaitan dengan perkembangan pusat-pusat pemerintahan Melayu selepas peristiwa penaklukan Melaka oleh Portugis, termasuk hubungan sejarah yang sering dikaitkan dengan wilayah Johor, Riau, Lingga dan Bintan.
“Penyelidikan ini bertujuan menghimpunkan dan menilai sumber-sumber sejarah yang ada secara objektif dan akademik. Segala dapatan akan diteliti berdasarkan manuskrip, dokumen, peta, catatan tempatan serta sumber-sumber lain yang relevan.”
Beliau menjelaskan bahwa kajian tersebut akan menelusuri pelbagai aspek sejarah pasca-1511, termasuk perpindahan pusat pemerintahan, jaringan perdagangan, perkembangan budaya dan kesinambungan institusi Kesultanan Melayu di kawasan Selat Melaka dan Kepulauan Riau.
Institut Tun Perak turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan para pengkaji, institusi pendidikan, badan warisan serta pemilik koleksi sejarah di Malaysia dan Indonesia bagi memperkaya sumber kajian yang tersedia.
Penyerahan Naskah Salasilah Melayu ini diharapkan menjadi titik permulaan kepada jaringan kerjasama penyelidikan yang lebih luas antara Melaka dan Bintan, sekaligus memperkukuh usaha mendokumentasikan sejarah dan warisan tamadun Melayu untuk manfaat generasi masa hadapan.
(Red)










Komentar